IPOH – Bekas juara bina badan Mr. Asia enam kali, Datuk Malek Noor dikejarkan ke sebuah hospital swasta di sini selepas mengalami sesak nafas akibat serangan sakit jantung malam kelmarin.
Ketika kejadian, beliau sedang menyertai perlawanan bola sepak Piala Amal Menteri Besar Perak di Stadium Perak di sini.
Malek yang bermain di posisi penjaga gol tiba-tiba berpaut pada tiang gol dan menahan kesakitan pada bahagian dadanya selepas lima minit perlawanan bermula.
Bekas atlet berusia 56 tahun itu kemudian diberikan bantuan kecemasan oleh seorang pegawai perubatan sebelum dipindahkan ke Hospital Permaisuri Bainun di sini.
Pengurus Keahlian Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Aminuddin Mohd. Nasir berkata, ahli bina badan itu kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pantai Ipoh.
“Malek sangat teruja untuk menyertai perlawanan itu bahkan pada sesi pemanas badan sebelumnya, dia sangat cergas.
“Tiada langsung tanda-tanda dia diserang sakit jantung sehinggalah dia menjerit memanggil saya dan mengadu sesak nafas,” ceritanya.
Menurut Aminuddin, keadaannya kini semakin stabil dan beliau berharap semua pihak mendoakan bekas jaguh bina badan negara itu pulih.
Oleh AHMAD SYAKIR SAZILIdan KAMARUDDIN ISMAIL
berita@kosmo.com.my
2 comments:
semoga dia tak apa2.. amin :)
amin
Post a Comment